Pemberitahuan: Nukilan ini mengandungi pandangan yang berbeza dari apa yang didedahkan kepada kita selama ini. Ianya hasil dari pemahaman dan pengalaman peribadi kami semata-mata. Meskipun ianya berdasarkan bukti saintifik, nukilan ini tidak berniat untuk merubah apa yang selama ini dipercayai oleh pembaca. Budibicara pembaca untuk menerima atau menolak pandangan ini, kami dahulukan dengan jutaan terima kasih.
Apakah sebenarnya taqwa?
Dalam satu kisah, Saidina Ali A.S. dikatakan pernah melepaskan musuhnya pergi walaupun dalam kemarahan. Ketika Ali hampir membunuh musuhnya dengan pedang beliau, Ali diludah oleh musuh tersebut. Ali terhenti dan melepaskannya. Musuhnya bertanya “mengapa kau melepaskan aku”, Ali menjawab, “kerana jika aku bunuh kamu, aku khuatir ianya kerana marah dan bukan kerana Allah.”
Banyak yang boleh ditafsirkan dari cerita tersebut. Kisah Saidina Ali tadi adalah sebenarnya menggambarkan sifat taqwa yang ada dalam hidup beliau – iaitu kesedaran terhadap apa yang berlaku dalam minda dan emosi.
Bagaimana menyedari proses yang berlaku dalam minda dan emosi? Mari kita rujuk gambarajah 1:
Dalam saat kita membaca blog ini, tubuh kita menerima pelbagai bentuk input dari persekitaran, dari yang sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-besar input. Contohnya minda kita menyerap informasi tentang suhu bilik, suhu tubuh, warna, tekstur, bau, saiz dan bentuk dari sekecil-kecil hinggalah kesebesar-besar benda di sekeliling kita. Sains mengatakan yang kita menerima input sebanyak 10 juta bit per saat.
Minda kemudiannya menapis maklumat yang masuk berdasarkan acuan atau program minda yang telah kita bina sejak kecil. Sebahagian besar dari maklumat itu dibuang atau diabaikan. Contohnya, ketika kita membaca penulisan ini, minda mengabaikan suhu tubuh kita, sensasi dari postur badan serta banyak lagi input yang sedang berlaku di sekeliling kita, dan memberi konsentrasi kepada setiap perkataan dalam penulisan ini.
Dari konsentrasi tadi kita mengolah penulisan ini bagi menepati acuan minda. Jika kita percaya yang tulisan ini menyampaikan perkara yang betul, minda akan mengolah segala input bagi menepati dan membuktikan apa yang kita percaya itu benar. Dalam kehidupan harian kita, jika kita percaya yang hidup ini sukar, minda akan mengolah segala input untuk membuktikan yang hidup kita benar sukar.
Selepas itu, minda akan mengkategorikan input tadi. Jika penulisan ini menyampaikan perkara yang benar, ia akan dikategorikan sebagai “positif”, contohnya. Proses mengkategorikan input ini penting dalam hidup seharian kita kerana ia memudahkan kita menavigasi kehidupan kita. Misalnya, gelas – gelas mempunyai pelbagi bentuk, saiz dan warna. Walau apapun bentuk, saiz dan warna, minda boleh mengklasifikasikannya sebagai “gelas”.
Dari proses tadi, minda menghasilkan “representasi dalaman”, iaitu gambaran maya yang mewakili realiti di dunia luar. Ketika kita berfikir, tanpa kita sedari, kita menghasilkan gambaran maya di bahagian depan kepala kita. Ia juga dipanggil sebagai “hologram minda”. Apa yang kita dengar, lihat, sentuh, rasa, bau, fikir serta ketika kita bercakap dengan diri sendiri, semuanya menghasilkan gambaran maya di kawasan dahi kita. Sama ada kita sedar atau tidak, proses ini mencorakkan nasib, qada’, qadar dan semua aspek pengalaman hidup kita dari saat ke saat.
Orang-orang tua kita sering mengatakan yang dahi adalah tempat paling istimewa kerana adanya perkataan Allah. Meskipun kepercayaan itu tidak begitu tepat, dahi (atau lob hadapan otak) memang lokasi yang istimewa kerana di situlah terciptanya skrin maya. Lokasi ini bukan sahaja diistimewakan oleh orang Melayu. Micheal Angelo melukis sejarah terciptanya nabi Adam yang mengambarkan tangan Tuhan yang terkeluar dari dahi. Tradisi dalam agama lain juga memberi keistimewaan pada bahagian ini.
Dari hologram minda, otak mencetuskan pelbagai reaksi biokimikal yang menjadi asas bagi emosi kita. Mari kita cuba:
Cuba anda ingatkan satu saat yang paling indah dalam hidup anda. Katakan saat anda sedang bermandi pantai dengan orang tersayang. Memori itu muncul sebagai gambaran maya di dahi anda. Berikan sedikit masa untuk menghayati gambaran tersebut. Kemudian, perhatikan perasaan anda. Apa yang sebenarnya anda rasa?
Setelah itu, kakukan visualisasi tadi. Anda boleh juga bermain-main dengan gambaran ini dengan mengecilkan atau membesarkannya, menggelapkan atau menambah cahaya yang lebih terang pada visualisai anda. Adakah anda sedar yang perasaan anda juga berubah ketika anda mengubah gambaran tadi?
Dari situ, kita dapat buktikan yang hologram minda merubah perasaan. Dari perasaan tersebut kita mencetuskan tindakan. Kesinambungan proses hologram -perasaan-tindakan ini dikenali sebagai “cybernetic loops”.
Taqwa adalah amalan memerhati dan memahami proses ini dari saat ke saat dalam hidup kita. Tugas kita dalam proses ini hanyalah sebagai pemerhati. Untuk memahami proses bagaimana kita mencipta pengalaman dalam hidup, kita tidak perlu mengadili diri sendiri tentang apa yang kita fikir dan rasakan. Menjadi pemerhati atau saksi dalam proses ini adalah kunci yang meningkatkan kesedaran kita. Proses peningkatan ini berkembang sehingga kita menjadi saksi kepada zat Allah yang wujud pada setiap makhluk. Hakikat ini adalah intipati kalimah Syahadah seperti yang kita ucapkan “Aku naik saksi”. (Kita akan bincangkan dengan lebih lanjut perihal “saksi” ini ditopik lain.)
Baiklah mari kembali kepada kisah Saidina Ali tadi. Melalui penghuraian ini, kita dapat gambarkan bagaimana beliau sentiasa memerhati dan menyedari proses cybernetic loops yang berlaku dalam diri beliau pada setiap saat.
Perkataan “taqwa” berasal dari perkataan “waqahu” yang bermaksud memelihara atau berjaga-jaga. Berjaga-jaga didalam konteks ini bererti sedar atau prihatin terhadap setiap tindak-tanduk minda, emosi dan tingkah-laku dalam setiap saat melalui proses yang telah dibincangkan tadi.
Abu Hurairah r.a., dikatakan pernah ditanya tentang maksud taqwa, beliau menjawab:
“Pernahkah kamu bertemu jalan yang banyak duri dan bagaimanakah tindakan kamu ketika itu?
Orang itu menjawab, “Aku melangkah dengan hati-hati supaya aku tidak memijaknya”
Beliau menjawab, “itulah taqwa”.
Kesan taqwa pada tubuh
Jelasnya, taqwa adalah kesedaran yang berpatah balik kepada diri sendiri. Semua sistem yang seimbang dan dinamik di alam semesta mempunyai sifat reflek-diri (lihat gambarajah 4). Pada manusia, sifat reflek-diri merupakan ruang magnetik yang dikenali sebagai “aura”.
Ruang magnetik berbentuk “torus” (seperti donut) ini memainkan peranan yang penting bagi semua sistem yang seimbang menampung kewujudannya, berkembang, dan mempunyai daya adaptasi.
Melalui taqwa, tugas kita hanya sebagai pemerhati atau saksi. Walaupun tugas ini nampak mudah, ia memberi kesan yang dalam. Tubuh kita merupakan ruang magnetik yang bercas positif. Taqwa menghasilkan fluks electromagnetik yang mengionisasikan (ionize) udara di sekeliling tubuh badan.
Melalui kajian Nikola Tesla, seorang ahli fizik dan jurutera terkemuka, ionisasi dengan cas positif ke atas tubuh membuatkan kita mengalami keletihan. Bertentangan dengan itu, cas negatif pula memberi tenaga dan membuatkan kita rasa ceria dan aktif. Disamping itu, ionisasi negatif membantu dalam meningkatkan oksidasasi paru-paru, menyihatkan kulit dan banyak lagi fungsi yang berfaedah untuk kesejahteraan tubuh.