Saturday, 28 March 2015

PEMANFAATAN MINDA SEPARA SEDAR - FAEDAH ROHANI

Kita dilahirkan dengan kesedaran dunia 4 Dimensi (3 dimensi ruang dan 1 dimensi masa). Melalui amalan relaksasi dengan teknologi minda, kesedaran ini diperkembangkan ke dunia 5 Dimensi. Dimensi ke-5 adalah persepsi psiko-spiritual dimana seseorang itu merdeka dari cengkaman emosional serta mental dan melihat kewujudan dirinya dalam setiap makhluk.




  • Hidup berkesedaran (conscious living).
    Hidup berkesedaran bermaksud menyedari proses pembentukan fikiran dan cetusan emosi yang seterusnya memanifestasikan pengalaman hidup kita dalam setiap saat. Kesedaran ini adalah kunci bagi kehidupan bertaqwa yang memperkasakan kita dalam membentuk realiti dalam pengalaman hidup kita. Kehidupan berkesedaran juga adalah kunci yang membawa kita kepada kesedaran Dimensi ke-5.
  • Membentuk jiwa yang terhubung dengan Tuhan.
    Melalui cara hidup yang penuh berkesedaran, kita akan menyedari secara praktikal bagaimana kehidupan kita dan semua makhluk dijanakan oleh kehebatan Tuhan. Hubungan intim dengan Tuhan yang Esa adalah sesuatu yang tidak dapat diungkap dengan bahasa manusia yang terbatas.
  • Membentuk minda yang kusyuk.
    Amalan relaksasi membentuk minda yang jelas dan kusyuk. Kusyuk adalah sifat semula jadi minda yang boleh dilihat pada kanak-kanak kecil (minda mereka terfokus dalam saat ke saat). Kusyuk mencetuskan rangkaian neuron yang bebas dari kesengsaraan hidup dan seterusnya menjana kehidupan harmoni secara fizikal, mental dan spiritual.
  • Mendakap realiti.
    Kejelasan minda yang terbentuk melalui amalan relaksasi memperkuatkan kita untuk mendakap dan menikmati realiti hidup. Kebolehan untuk mendakap realiti adalah kunci bagi kehidupan ceria yang tidak tersandar pada faktor luaran seperti keadaan ekonomi, sosial, persekitaran dan sebagainya. 
  • Meningkatkan kebolehan psikik.
    Bagi sesetengah orang, amalan relaksasi meningkatkan kebolehan psikik mereka.
  • Melahirkan rasa harmoni, keluasan rohani dan menyemai rasa belas-kasihan.
    Bagi kita yang tidak mengamalkan relaksasi, "diri" ditafsirkan sebagai suatu individu yang terasing dari semua makhluk, terikat pada pelbagai batasan hidup dan nasib yang bergantung pada faktor luaran. Melalui amalan relaksasi kita boleh merasai dan memahamai bagaimana semua makhluk terhubung-kait dengan yang Maha Pencipta dan sekali gus melahirkan rasa harmoni dengan setiap makhluk dan seluruh alam semesta. Pemahaman yang dalam dan melampaui deria kasar ini memberi keluasan jiwa, meningkatkan nilai kendiri dan menyemai rasa belas-kasihan terhadap semua makhluk.

PEMANFAATAN MINDA SEPARA SEDAR - FAEDAH FIZIKAL

Seperti latihan fizikal yang menguatkan otot dan tulang, relaksasi dengan teknologi minda menguat dan menambah rangkaian neuron otak. Saintis menggelar proses ini sebagai "Neuroplastisiti". Kebolehan otak untuk memperbaiki keadaan fizikalnya, memberi impak positif terhadap minda untuk berfungsi secara keseluruhan ("whole brain functioning"), meningkatkan kestabilan emosional dan memperkembangkan kesedaran spiritual.



Faedah Fisiologikal
  • Relaksasi.
    Kajian sains membuktikan penggunaan teknologi minda sebagai salah satu amalan relaksasi yang terbaik kerana ia menurunkan jumlah asid laktet dalam darah. Penurunan jumlah asid laktet ini merelaks dan menyegarkan tisu otot kita. Amalan relaksasi juga menurunkan kadar metabolisme dan kekerapan bernafas disetiap minit, menyebabkan badan berasa tenang. Amalan relaksasi yang kerap dan berterusan membuatkan tubuh sentiasa berada dalam keadaan relaks ekoran dari kurangnya tekanan mental-emosional. Kadar degupan jantung dan kadar pernafasan juga menjadi lebih tenang.
  • Memperbaiki kesihatan secara menyeluruh. 
    Beberapa kajian telah dilakukan dalam mengukur tahap kesihatan mereka yang mengamalkan relaksasi dan yang tidak mengamalkannya. Mereka yang mengamalkan relaksasi mempunyai tahap kesihatan yang lebih tinggi berbanding dengan mereka yang tidak mengamalkan relaksasi. Disamping itu, kajian juga mendapati pesakit yang mula mengamalkan relaksasi, penyakit mereka beransur kurang dan sembuh.
  • Memperbaiki dan melancarkan pengaliran darah.
    Amalan relaksasi melancarkan pengaliran darah dalam otak dan tubuh. Selepas 4 ke 6 minggu, mereka yang mengalami hipertensi mempunyai penurunan tekanan darah yang sangat jelas.
  • Mengurang atau menyembuhkan sakit kepala.
    Sakit kepala sering kali dikaitkan dengan tekanan darah akibat keadaan minda atau tubuh yang tegang. Amalan relaksasi mampu mengurangkan sakit kepala dan migrain secara dramatik dengan merelakskan tubuh dan otak. 
  • Memperbaiki kualiti tidur.
    Beberapa kajian menunjukkan mereka yang mengamalkan relaksasi memerlukan masa yang lebih pendek bagi menikmati tidur yang memuaskan. Mereka yang mengalami insomnia pula lebih mudah untuk tidur selepas mereka mula mengamalkan relaksasi.
  • Memperbaiki sistem immunisasi dan sistem endokrin.
    Beberapa kajian telah dijalankan bagi mempelajari kesan relaksasi pada sistem immunisasi. Relaksasi meningkatkan ketahanan tubuh dalam melawan penyakit. Disamping itu, relaksasi juga menstabilkan penghasilan hormon tertentu dalam sistem endokrin manusia.

Faedah Otak
  • Fungsian keseluruhan otak
    Kebanyakkan dari kita menjalani kehidupan dengan aktiviti di hemisfera kiri dan kanan otak yang tidak seimbang. Secara umumnya, mereka yang menggunakan hemisfera kanan yang lebih berbanding kiri dikatakan lebih kreatif. Bagi mereka yang menggunakan otak kiri pula, dikatakan lebih analitikal.Amalan relaksasi dengan teknologi minda mencetuskan komunikasi seimbang dikedua-dua hemisfera otak. Komunikasi seimbang ini dikenali sebagai "fungsian keseluruhan otak" atau "whole brain functioning". Kedua-dua hemisfera yang berfungsi serentak memberi kejelasan minda, meningkatkan kreativiti dan kebolehan menyelesai masalah, memperbaiki kebolehan belajar serta banyak kelebihan lain. 
  • Neuroplastisiti
    Sains membuktikan yang perubahan corak pemikiran seseorang mengaktivasikan bahagian otak yang sebelum ini tidak aktif. Seperti otot tubuh kita yang mampu dibina melalui latihan fizikal, amalan relaksasi terbukti mampu merubah dan memperbaiki struktur otak. Dengan amalan relaksasi, rangkaian neuron yang lemah dikuatkan disamping mencipta rangkaian neuron baru.
  • Bio-kimia otak
    Dengan penghasilan gelombang otak beta, alfa, teta, delta dan gamma, relaksasi mencetuskan penghasilan pelbagai bahan bio-kimia penting. Beberapa contoh bahan bio-kimia tersebut adalah:
    • Katekolamina - penting untuk memori dan kebolehan belajar.
    • Endorfina - juga penting untuk daya ingatan.
    • Serotonina - dalam jumlah yang ideal, bahan kimia ini menghasilkan kestabilan perasaan (mood).
    • Mengurangkan Kortisol - hormon yang mempercepatkan proses penuaan dan salah satu hormon stres.
    • Melatonina - memperbaiki kualiti tidur.
    • DHEA (Dihidroepiandrosterona) - hormon penting bagi kawalan penuaan dan melawan penyakit.

PEMANFAATAN MINDA SEPARA SEDAR - FAEDAH MENTAL

Secara umumnya, bayangkan kapasiti minda kita menjalani kehidupan harian adalah seperti sebuah lebuhraya. Tekanan dalam rutin harian pula seperti kenderaan. Jika lebuhraya sempit, tekanan akan mengakibatkan kesesakan dan stres. Penggunaan teknologi minda memberi kesan dalam meningkatkan kapasiti kita mengendalikan tekanan dalam hidup.




Faedah Psikologikal
  • Menghilangkan stres dan meningkatkan keceriaan secara effektif.
    Kajian sains membuktikan yang amalan relaksasi dengan teknologi minda mengurangkan hormon stres seperti kortisol secara dramatik. Relaksasi juga meningkatkan penghasilan bahan biokimia yang mencetuskan keceriaan (endorfina) dan menstabilkan penghasilan serotonina, iaitu hormon yang mengawal mood.
  • Meningkatkan ketenangan dan kekuatan psikologikal.
    Aset bagi menjalani kehidupan yang bahagia adalah kekuatan psikologikal. Kajian membuktikan mereka yang mengamalkan relaksasi mempunyai tahap kekuatan emosi yang tinggi dan membolehkan mereka mengecapi kehidupan yang ceria walau apa pun yang berlaku di sekeliling mereka. Dalam kajian saintifik yang lain, mereka yang mengamalkan relaksasi selalunya memberi respon yang lebih tenang dalam keadaan tegang berbanding dengan mereka yang tidak mengamalkan relaksasi.
  • Mengubati masalah jiwa dan minda secara yang paling berkesan.
    Kebanyakkan masalah jiwa dan minda berpunca dari corak pemikiran yang tegang dan kacau. Amalan relaksasi dengan teknologi ini memberikan kejelasan minda yang merubah punca masalah jiwa kepada sumber inspirasi dan kekuatan dalaman.
  • Membina daya kawalan emosi.
    Perasaan seperti sedih, marah, kecewa, benci dan pelbagai masalah emosional lain adalah hakikatnya aspek yang mewarnai kehidupan kita sebagai manusia. Walaupun begitu perasaan negatif sering membelenggu kita dan mengacu corak kehidupan ramai manusia. Mereka yang mengamalkan relaksasi dengan teknologi ini selalunya mempunyai ruang dalam menilik perasaan yang sekali gus memberikan kekuatan dalam menakluki aliran emosional mereka.
  • Melahirkan rasa harmoni, keluasan rohani dan menyemai rasa belas-kasihan.
    Bagi kita yang tidak mengamalkan relaksasi, "diri" ditafsirkan sebagai suatu individu yang terasing dari semua makhluk, terikat pada pelbagai batasan hidup dan nasib yang bergantung pada faktor luaran. Melalui teknologi minda ini kita boleh merasai dan memahamai bagaimana semua makhluk terhubung-kait dan sekali gus melahirkan rasa harmoni dengan setiap makhluk dan seluruh alam semesta. Pemahaman yang dalam dan melampaui deria kasar ini memberi keluasan jiwa, meningkatkan nilai kendiri dan menyemai rasa belas-kasihan terhadap semua makhluk.

Faedah Intelektual
  • Menghasilkan kejelasan minda.
    Kajian sains membuktikan yang amalan relaksasi dengan teknologi minda membantu dalam menghasilkan fikiran yang tajam, jelas dan meningkatkan kebolehan menyelesaikan masalah. Ramai antara pegawai atasan syarikat Fortune 500 di seluruh dunia mengamalkan relaksasi bagi tujuan ini.
  • Meningkatkan tahap intelek dan kebolehan belajar.
    Kajian keatas para pelajar yang mengamalkan relaksasi membuktikan yang mereka mempunyai tahap capaian intelek yang lebih tinggi dari yang tidak mengamalkan relaksasi. Mereka juga mudah memahami sesuatu informasi secara menyeluruh ("connect-the-dots") berbanding dengan pelajar yang tidak pernah mengamalkan relaksasi. Gelombang Theta yang membantu dalam proses pemahaman menyeluruh ini sering dihasilkan ketika relaksasi dengan teknologi minda dan memudahkan para pelajar menghasilkan gelombang yang sama dalam kehidupan harian mereka (diluar amalan relaksasi).
  • Meningkatkan konsentrasi
    Teknologi minda menguatkan kebolehan seseorang untuk memberi tumpuan terhadap sesuatu. Ini berlaku kerana amalan relaksasi dengan teknologi minda membantu otak dalam menumpukan input sensori kepada suatu tumpuan yang menjadikan tugas memproses informasi menjadi lebih effisien. 
  • Memperkukuhkan memori
    Hasil dari kebolehan memberi tumpuan, relaksasi membantu dalam memperkukuhkan memori. Melalui suatu kajian sains, amalan relaksasi terbukti memperbaiki memori mereka yang berumur diantara 55 ke 77 tahun dalam masa 8 minggu sahaja. Ini adalah kerana amalan relaksasi meningkatkan pengaliran darah dalam otak.
  • Meningkatkan kreativiti
    Kajian beberapa ahli sains menunjukkan penghasilan idea tercetus ketika minda berada didalam keadaan yang tenang. Ketika itu, otak mengurangkan penghasil sejenis neurotransmitter yang membenarkan minda menyelami fikiran separa sedar yang menjadi lubuk inspirasi. Peningkatan kreativiti meningkatkan tahap kebolehan menyelesaikan masalah dalam hidup seseorang.
  • Memperkembangkan daya persepsi dan intuitif
    Amalan relaksasi yang kerap meluaskan daya sensori seseorang. Ini bermaksud, amalan relaksasi membebaskan minda dari bergantung kepada 5 deria asas. Pembebasan ini adalah kunci kepada kemahiran mengetahui sesuatu (knowingness) yang melangkaui pemahaman minda rasional. Di dalam alam semula jadi, contoh "knowingness" yang jelas boleh dilihat dari penghijrahan haiwan seperti ikan salmon yang melawan arus untuk pulang ke tempat asal mereka.

KESAN TEKNOLOGI PERKEMBANGAN MINDA DALAM KEHIDUPAN HARIAN

Kita telah bincangkan tentang minda separa sedar dan di mana pusat kawalannya berada. Disamping itu, kita juga telah lihat bagaimana perubahan getaran dalam otak menghasilkan bentuk gelombang yang memberi kesan berbeza kepada minda.


Getaran yang ditafsirkan sebagai gelombang itu sebenarnya dihasilkan oleh filamen-mikro dalam neuron yang kelihatan seperti kaki sotong kurita (gambarajah 3). Pada saat anda sedang membaca tulisan ini, berbilion-bilion neuron sedang aktif dengan getaran filamen-mikro. Filamen mikro menghadamkan 10 juta bit informasi per saat yang sampai melalui deria anda. Getaran filamen-mikro ini mencetuskan pelbagai neuro-kimikal yang memberi kesan kepada fizikal dan psikologikal.



Bagi seseorang yang telah lama menggunakan teknologi perkembangan minda, getaran ini telah dilentur untuk menghasilkan gelombang yang mencetuskan neuro-kimikal positif secara semula jadi. Mereka berasa lebih gembira, tenang, bersemangat dan memiliki kapasiti minda yang lebih berbanding mereka yang tidak pernah menggunakannya. Disamping itu, hasil lenturan gelombang yang kerap membolehkan mereka menggunakan neuronet minda separa sedar yang tidak terjangkau oleh neuronet minda sedar.

Bagi mereka yang tidak menggunakan teknologi ini, stres, kerisauan dan ketegangan adalah norma kehidupan terutamannya dizaman moden ini. Bentuk psikologikal yang negatif selalunya terjadi digelombang beta. Ketika mereka berasa kurang gembira, bimbang, kecewa, marah dan sebagainya getaran filamen-mikro bergetar bagi menghasilkan neuro-kimikal stres seperti kortisol dan norepinefrina.

Jika kita perhatikan, peristiwa dan perkara yang mencetuskan stres atau kekecewaan sering kali berulang dalam hidup mereka. Ini adalah akibat hidup di dalam neuronet minda sedar yang terbatas. Pada hakikatnya, semua penyakit kronik bukannya berakar umbi dari benda luaran seperti rokok dan sebagainya. Penyakit kronik berakar umbi dari set minda dan neuro-kimikal yang terhasil dari neuronet itu. Neuro-kimikal stres adalah sesuatu yang menagihkan. Akibat dari set minda yang terbatas, mereka mengalami ketagihan emosi dan neuro-kimikal yang memberi kesan negatif terhadap tubuh badan.

OTAK KITA - BAGAIMANA MINDA SEDAR DAN SEPARA SEDAR BERKOMUNIKASI

Kita telah mendapat sedikit gambaran tentang di mana pusat minda sedar dan separa sedar berada. Kini mari kita lihat bagaimana kedua-duanya berkomunikasi.


Setiap aktiviti yang berlaku pada otak wujud didalam bentuk tenaga elektromagnetik. Getaran elektromagnetik ini diukur dan ditafsirkan kedalam bentuk frekuensi. Dari frekuensi itu, getaran dibaca dalam bentuk gelombang yang terhasil dari otak. Terdapat 5 jenis bentuk gelombang otak - beta, alfa, thetha, delta dan gamma (lihat gambarajah 2).



Kelima-lima gelombang otak ini adalah refleksi tahap kesedaran kita.

Sebagai contoh, ketika otak sedang aktif menjalani kehidupan harian, gelombang beta biasanya yang paling dominan antara semua gelombang tadi. Ini bererti ketika kita menjadi insan minda sedar, beta adalah gelombang yang paling banyak terhasil dalam otak.

Gelombang alfa pula adalah gelombang transisi dari minda sedar ke separa sedar. Perubahan kesedaran dari beta ke alfa menenangkan kita. Alfa adalah getaran yang lebih perlahan dari beta.

Jika getaran ini diperlahankan lagi, kita akan berada digelombang theta. Gelombang theta adalah gelombang di pintu masuk minda separa sedar dimana kita bermimpi ketika tidur. Gelombang ini mencetuskan beberapa neuro-kimikal yang penting bagi memori, kreativiti dan pengalaman integratif.

Lebih perlahan dari theta ialah gelombang delta. Gelombang ini selalunya terhasil ketika tidur tanpa mimpi. Keadaan tidur tanpa mimpi adalah tahap separa sedar yang dalam. Tubuh memperbaiki dirinya ketika minda berada di tahap ini.

Gelombang gamma pula adalah gelombang yang membenarkan komunikasi diantara bahagian-bahagian otak. Gelombang ini kecil dan sangat laju. Meskipun ada pakar yang menganggap gelombang ini sebagai gelombang tinggi beta, kesannya terhadap emosi adalah positif. Bagi mereka yang telah lama menggunakan teknologi perkembangan minda, gelombang ini adalah lebih banyak dari mereka yang tidak pernah menggunakannya. Saintis percaya penghasilan gelombang gamma secara ideal membuatkan kita lebih fokus, tinggi I.Q, mempunyai kesedaran keesaan Tuhan dan naluri kasihan belas yang tinggi.

OTAK KITA - PUSAT MINDA SEDAR & SEPARA SEDAR

Tenaga elektromagnetik pada diri kita mengandungi informasi yang membenarkan otak dan tubuh berfungsi. Getaran elektromagnetik ini pada otak ditafsirkan didalam bentuk gelombang beta, alfa, theta, delta dan gamma. Setiap bentuk gelombang itu adalah refleksi tahap kesedaran manusia. Fikiran sedar adalah aktif hanya ketika bentuk gelombang otak berada di dalam keadaan beta. Potensi manusia yang terkunci didalam minda separa sedar hanya boleh diakses ketika minda berada didalam bentuk gelombang alfa, theta dan delta.



Sebelum kita bincangkan tentang bentuk gelombang otak, mari kita mendapatkan gambaran kasar tentang lokasi pusat minda sedar dan separa sedar. 

Minda Sedar. 

Berdasarkan gambarajah di atas, kawasan kuning yang merupakan sebahagian besar dari otak adalah pusat bagi minda sedar. Setiap kali kita berfikir, setiap bentuk tindakkan dan perasaan yang kita miliki membentuk neuron dan rangkaianya di kawasan ini. Rutin kehidupan, attitud, pengalaman pancaindera, emosi yang kita rasa, kebolehan mengadili setiap benda, habit yang kita amalkan (dan semua aspek diri kita) pada setiap saat adalah semata-mata pengaturcaraan neuro-kimia yang berkomunikasi di dalam otak melalui rangkaian neuron atau neuronet di kawasan kuning ini. 

Ini bermaksud, neuro-kimikal dalam rangkaian neuron minda sedar adalah acuan personaliti diri kita yang dikenali selama ini. Personaliti ini bertugas seperti pengawal yang mengadili dan mengkelasifikasikan semua pengalaman dari dunia luar untuk proses selanjutnya dalam otak.

Minda separa sedar. 

Pusat bagi minda separa sedar dikatakan terletak di serebelum. Walaupun serebelum merupakan bahagian yang kecil terletak di belakang bawah otak, kandungan selnya melangkaui jumlah yang terletak di pusat minda sedar. Sel granul yang berada di dalam serebelum dianggarkan sebanyak 50 bilion dan sekali gus menjadikan 3/4 dari sel otak adalah sel granul serebelum. 

Ada juga yang mengatakan jika kita mengguris serebelum dengan hujung kuku kita dan meletakkannya di bawah mikroskop, kita akan mendapati jumlah sel di hujung kuku itu melebihi jumlah sel yang terdapat di seluruh kawasan pusat minda sedar.

Ringkasnya, meskipun pusat minda sedar pada otak lebih luas dari pusat minda separa sedar, ia hanya melakukan 10 peratus tugas yang mampu dilaksanakan oleh minda separa sedar. Selepas minda sedar mengadili input dari pancaindera, informasi itu dihantar ke minda separa sedar. Minda separa sedar tidak mengadili apa-apa input. Tugasnya hanyalah melaksanakan arahan mengikut acuan neuronet minda sedar.

MINDA SEPARA SEDAR


Perkataan "minda separa sedar" hanyalah merupakan satu istilah sains moden bagi menyatakan sesuatu yang misteri dan melangkaui corak pemikiran manusia yang terbatas. Minda separa sedar menjanakan pelbagai fungsian didalam kehidupan kita dari aspek mental, emosional, fizikal, dan spiritual.





Akal manusia mempunyai dua aspek yang saling bekerja bagi menjanakan kehidupan kita sehari-hari. Dua aspek ini adalah minda sedar dan separa sedar.

Minda sedar

Minda sedar adalah minda yang berfungsi dalam dunia fizikal. Dari saat kita celik dipagi hari hinggalah kedetik kita tidur semula, minda sedar memainkan peranan yang besar bagi kita menjalani kehidupan sebagai manusia. Dengan kewujudan minda sedar kita boleh berfikir secara rasional dan logikal. Walaupun peranan yang dimainkan oleh minda sedar adalah besar, ramai pakar menggangarkan kita hanya menggunakan antara 8% ke 12% dari keseluruhan akal. Baki dari keseluruhan akal itu (iaitu antara 92% ke 88%) adalah minda separa sedar.

Minda separa sedar

Minda separa sedar menjanakan pelbagai fungsian dalam kewujudan kita sebagai manusia. Tanpa memerlukan bantuan minda sedar yang terbatas kepada dunia rasional dan logikal, minda separa sedar mengaturkan setiap degup jantung dan nadi dengan tepat serta berkesesuaian dengan keadaan tubuh dan keadaan sekeliling kita. Minda separa sedar juga membantu tubuh kita menghasilkan sel baru, mencernakan makanan, mengatur pernafasan, menjanakan penghasilan peluh dan sebahagainya. Semua ini adalah contoh dari hanya satu aspek fungsian minda separa sedar dalam konteks fizikal manusia.

Dalam konteks mental dan emosional pula, minda separa sedar berfungsi seolah-olah seperti "pengkalan data" yang menyimpan memori kita, menjana bentuk emosi dan corak psikologikal. Minda separa sedar juga bertindak sebagai pencetus idea dan aspirasi kita.

Dari aspek spiritual atau rohaniah pula, minda separa sedar adalah pintu kesuatu bentuk tahap kesedaran psiko-spiritual yang digelar sebagai "kesedaran super" atau "super consciousness". Didalam bidang analitikal psikologi, tahap kesedaran ini boleh dikaitkan dengan apa yang digelar sebagai "individuasi" (atau "individuation"). Tahap kesedaran super adalah tingkat dimana seseorang merasai keluasan rohani, menikmati pemahaman hubungkait antara semua makhluk serta mempunyai naluri kasihan-belas yang dalam.

Tanpa memerlukan bantuan minda sedar yang terbatas kepada dunia rasional dan logikal, minda separa sedar mengaturkan setiap degup jantung dan nadi dengan tepat serta berkesesuaian dengan keadaan tubuh dan keadaan sekeliling kita... Semua ini adalah contoh dari hanya satu aspek fungsian minda separa sedar dalam konteks fizikal manusia.

Bagi memudahkan pemahaman, cuba kita lihat dalam diri kita ada dua jenis individu dengan dua bentuk kesedaran:

•   Individu minda sedar:

Dia mempunyai nama, berpersonaliti dan mempunyai pelbagai jenis sikap. Insan ini melihat dirinya sebagai satu individu yang kerdil, terasing dari individu lain dan terbatas pada dunia 4 dimensi (3 dimensi tempat dan 1 dimensi masa). Individu ini juga terikat di dalam dunia dualiti - dunia yang berkonsepkan baik dan buruk, miskin dan kaya, hidup dan mati, gembira dan sedih.

•   Individu minda separa sedar:

Individu ini tidak mempunyai nama dan tidak berpesonaliti. Dia tidak terbatas pada dunia 4 dimensi dan dari situ dia tidak mendefinisikan dirinya sebagai satu individu yang terasing dari semua makhluk. Dalam erti kata yang lain, tahap kesedarannya membolehkan dia mentafsir dirinya sebahagai sebahagian dari dunia sekelilingnya. Individu ini melihat dunia dualiti seperti sekeping duit syiling - baik dan buruk, gembira dan sedih, hidup dan mati adalah permukaan yang berbeza pada syiling yang sama. Permukaan yang satu tidak boleh wujud tanpa permukaan yang satu lagi.